Ayat 28-32:
Pengakhiran Kisah Penduduk Negeri dan Akibat Keengkaran Mereka
Assalamualaikum semua.. in shaa Allah, di malam yang penuh barakah ini, suka saya kongsikan sedikit ilmu berkaitan tadabbur surah Yassin bermula ayat 28 hingga 32.. selamat mengamati ye :')
Bismillah..
🖋Firman Allah serta Terjemahannya:
وَمَا أَنزلْنَا عَلَى قَوْمِهِ مِنْ بَعْدِهِ مِنْ جُنْدٍ مِنَ السَّمَاءِ وَمَا كُنَّا مُنزلِينَ (٢٨)
Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati) sebarang pasukan tentera dari langit (untuk membinasakan mereka), dan tidak perlu Kami menurunkannya.
إِنْ كَانَتْ إِلا صَيْحَةً وَاحِدَةً فَإِذَا هُمْ خَامِدُونَ (٢٩)
(Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi.
يَا حَسْرَةً عَلَى الْعِبَادِ مَا يَأْتِيهِمْ مِنْ رَسُولٍ إِلا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ (٣٠)
Sungguh besar perasaan sesal dan kecewa yang menimpa hamba-hamba (yang mengingkari kebenaran)! Tidak datang kepada mereka seorang Rasul melainkan mereka mengejek-ejek dan memperolok-olokkannya.
أَلَمْ يَرَوْا كَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُمْ مِنَ الْقُرُونِ أَنَّهُمْ إِلَيْهِمْ لَا يَرْجِعُونَ (٣١)
Tidakkah mereka mengetahui berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka? Umat-umat yang telah binasa itu tidak kembali lagi kepada mereka (bahkan kembali kepada Kami, untuk menerima balasan).
وَإِنْ كُلٌّ لَمَّا جَمِيعٌ لَدَيْنَا مُحْضَرُونَ (٣٢)
Dan tidak ada satu makhluk pun melainkan dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan).
📖 Tafsir Ringkas:
1. Allah SWT menggambarkan kemurkaan-Nya kepada penduduk negeri tersebut yang telah membunuh lelaki yang menyeru mereka agar beriman kepadaNya. Allah pasti membalas perbuatan kejam tersebut dengan mudah sahaja malah Dia tidak memerlukan pertolongan daripada malaikat pun untuk membinasakan. Akibatnya kaum itu dimusnahkan dengan satu pekikan sahaja dan tiada seorang pun yang terselamat.
2. Di hari kiamat, orang-orang yang mendustakan RasulNya akan merasa teramat besarnya penyesalan dan kekecewaan kerana menentang perintah Allah sewaktu hidup di dunia. Mereka ini adalah golongan yang tidak mengambil iktibar terhadap apa yang pernah berlaku pada kaum-kaum sebelum mereka.
3. Semua umat yang terdahulu dan yang akan datang akan dihimpunkan untuk menjalani perhitungan di hari kiamat dan akan diberi balasan setimpal dengan apa yang telah dikerjakan sewaktu di dunia.
🎀 Pengajaran:
1. Ingatlah sekecil mana pun amal perbuatan yang dilakukan di dunia akan diberi pembalasan oleh Allah SWT. Sebelum jasad di mamah tanah dan datangnya penyesalan, sedarlah dan akuilah bahawa akan datang Hari Pembalasan di mana semua amal baik atau jahat akan dihisab oleh Allah.
2. Pilihlah untuk berjuang di jalan yang benar mengikut ajaran Rasulullah SAW dan bukannya menentang apa yang dibawa oleh baginda. Kaum-kaum terdahulu telah pun diberi balasan yang sangat dahsyat atas keengganan mereka mengikut jalan yang benar. Maka kita perlu mengambil pengajaran sebelum perkara ini ditimpakan kepada kita pula.
3. Teruskanlah gerak kerja dakwah dan amar ma'ruf nahi mungkar sebagai salah satu usaha mencontohi para rasul dan orang-orang soleh yang terdahulu, di samping sentiasa memperbaiki diri dalam mencari redha Allah SWT.
4. Jika kita ditakdirkan untuk berada dalam situasi di mana kita harus memilih untuk menentang kebenaran atau memperjuangkannya, kita perlu memilih untuk menjadi pejuang meskipun kita bukan di pihak majoriti supaya kita tidak tergolong dalam golongan orang-orang yang kecewa dan kesal di hari akhirat.
5. Golongan yang menentang Islam pada hari ini perlu memahami bahawa para pendakwah yang menyeru mereka ke arah Islam itu sebenarnya sayangkan mereka, sedih melihat kekufuran mereka dan berharap agar mereka menerima kebenaran yang disampaikan agar mereka tidak mendapat penyesalan di akhirat kelak.
6. Amalkan setiap pagi dan perbanyakkan doa-doa mathurat yang menguatkan lagi azam dan harapan kita untuk terus hidup dalam redha Allah, teguh beragama dan menjejaki jalan para Rasul, antaranya:
رَضِيتُ بِاللهِ رَبًّا، وَبِالإِسْلاَمِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَبِيًّا ورسولًا.
📚 Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir.
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
7 September 2018 / 26 Zulhijjah 1439
credited: https://berita.pas.org.my/tadabbur-surah-yaasin-siri-10/
No comments:
Post a Comment